Sunday, 6 December 2015

ISU-ISU BAHASA, BUDAYA DAN ETIKA DALAM IT



ISU-ISU BAHASA, BUDAYA DAN ETIKA DALAM IT
Oleh:
Nik Mohd Zulfazlin

 

Abstrak


Dalam kehidupan sehari-harian  kita sering dikaitkan dengan nilai etika, Bahasa dan budaya. Bagi masayarakat  Islam dan rakyat Malaysia amnya perkara ini seringkali diterapkan bagi menjaga keharmonian masyarakat pelbagai kaum ini. Dalam zaman Teknologi maklumat yang semakin canggih dan pantas pada masa kini cabaran terhadap nilai etika, Bahasa dan budaya adalah cabaran yang sangat hebat bagi setiap individu. 
         Isu-isu bahasa, budaya dan etika dalam Teknologi Maklumat ( IT ) semakin hangat diperkatakan kerana perkara ini semakin bertambah meruncing dengan kemajuan Teknologi ini. Media sosial yang semakin banyak terdapat seperti Facebook, Twitter, Whatsapp, Wechat dan sebagainya menjadikan masyarakat menyalahgunakan kemajuan teknologi ini. Gejala-gejala sosial semakin bertambah teruk, pelajar sekolah sudah pandai menyalahgunakan kemajuan teknologi ini.
         Kini peranti elektronik semakin mangambil tempat dikalangan generasi tidak kira tua muda remaja bahkan telah didedahkan kepada kanak seawal usia 1tahun sudah mempunyai peranti elektronik mereka sendiri. Perhatian daripada semua pihak samada ibubapa ataupun orang sekeliling kini harus diberi lebih perhatian kepada golong generasi Y dan generasi yang akan dating yang di kenali dengan generasi Z agar mereka lebih peka dalam dunia kecanggihan teknologi ini.
         Dalam isu ini akan dibincangkan permasalahan dalam isu bahasa,budaya dan etika dalam teknologi maklumat yang semakin pincang pada masa kini.

  
 1.0       PENDAHULUAN
Era globalisasi dunia mencetuskan banyak perubahan dalam menghayati kehidupan selepas arus permodenan. Perubahan terhadap gaya hidup berorientasikan teknologi dan kemajuan maklumat memberikan kesan dan menjadi cabaran terhadap etika, bahasadan budaya pemikiran dan corak hidup yang bersendikan adat, tatasusila ketimuran dan penghayatan agama. Perubahan dunia masa kini amat pantas hasil ledakan teknologi maklumat. Setiap hari pelbagai hasil ciptaan baru dari inovasi teknologi. Teknologi dan maklumat telah berjaya menghapuskan batasan sempadan sesebuah negara. Malahan ia berjaya merubah bentuk pemikiran, ideologi, budaya dan berbagai elemen luar memasuki ruang negara lain tanpa sekatan dan kawalan.
Teknologi Maklumat (Information Technology-IT) sering digambarkan sebagai istilah yang timbul hasil penggunaan komputer, penyiaran, telekomunikasi dan rangkaian data. Tiga teknologi asas yang menyokongnya ialah perkakasan komputer, perisian komputer dan komunikasi data.  Teknologi maklumat terhasil daripada gabungan teknologi elektronik mikro, telekomunikasi dan komputer yang berkaitan dengan penerimaan dan penyampaian maklumat seperti perkataan, gambar, bunyi dan nombor kepada pengguna secara elektronik.  Perkakasan komputer merupakan mesin atau alat fizikal yang melakukan fungsi-fungsi asas kitaran pemprosesan data sama ada di luar talian ataupun di dalam talian. Fungsi-fungsi tersebut ialah penyediaan dan kemasukan data, pemprosesan, storan, input dan output.
Perisian pula merupakan jujukan arahan yang terperinci atau aturcara yang direkabentuk untuk mengarahkan komputer melaksanakan fungsi tertentu. Terdapat dua jenis perisian iaitu perisian sistem dan perisian aplikasi. Komunikasi data ditakrif sebagai pemindahan data dari satu tempat ke tempat yang lain secara elektronik dalam bentuk digital. Bagaimanapun, data digital perlu ditukar kedalam bentuk analog oleh modem sebelum komunikasi dijalankan. Contoh perkakasan komunikasi lain ialah Pemultipleks, Pemproses Hujung Hadapan dan Kad Antaramuka Rangkaian (Network Interface Card).

 1.1       Definisi Teknologi Maklumat

Teknologi maklumat boleh ditakrifkan sebagai sebarang kaedah yang digunakan untuk memindah, menyebar dan memapar maklumat.  Teknologi Maklumat (Information Technology) atau IT dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (Information and Communication Technology) atau ICT merupakan teknologi yang diperlukan untuk pemprosesan data. Ruang lingkup tajuknya sangat luas iaitu berkenaan segala aspek dalam pengurusan dan pemprosesan maklumat. Secara tepat dan mudah, penggunaan komputer dan perisian untuk mengubah, menyimpan, melindungi, memproses, memindah, melihat, dan mendapatkan maklumat tanpa mengira tempat dan waktu.
Definisi teknologi maklumat boleh diringkaskan sebagai satu proses pengaliran, penyebaran, pemprosesan dan penyimpanan maklumat menggunakan perantaraan teknologi. Seperti yang diketahui umum, teknologi disifatkan sebagai satu bentuk pemudahcara yang membolehkan pengaliran maklumat menjadi sangat pantas. Sebenarnya teknologi maklumat tidak terhad kepda internet dan komputer sahaja tetapi ia melibatkan televisyen, telefon bimbit dan sistem satelit dalam menyampaikan maklumat kepada penerima.  Terdapat 3 asas penting dalam penggunaan teknologi maklumat.  Pertama, teknologi maklumat adalah untuk mengumpul maklumat. Ia digunakan untuk suntingan dengan menggunakan teknologi. Contoh, dengan menggunakan komputer ia boleh merekod bunyi, imej dan sebagai pengesan gerakkan.  Kedua, adalah untuk memanipulasikan maklumat dan proses semula imej. Ketiga, digunakan untuk berkomunikasi iaitu ia menjelaskan bagaimana teknologi maklumat digunakan untuk berkomunikasi bagi mendapatkan maklumat daripada sumber kepada penerima.

 
 2.0       ISU BAHASA DALAM TEKNOLOGI MAKLUMAT ( IT )

            Pada masa ini, bidang berkaitan teknologi maklumat amat penting.  Ekoran daripada ledakan teknologi maklumat ini turut memberi kesan terhadap penggunaan bahasa Melayu di Malaysia.  Kita sedia maklum bahawa bahasa yang digunakan terhadap penggunaan IT ialah bahasa Inggeris. Keadaan ini memberi kesan terhadap bahasa Melayu dalam penggunaan teknologi maklumat.  Penggunaan bahasa Inggeris yang berleluasa dalam IT menjadikan berlakunya kemerosotan fungsi dan keperluan terhadap bahasa Melayu dalam kehidupan masyarakat sehingga menyebabkan hilangnya keyakinan masyarakat terhadap bahasa sendiri. 
Penekanan terhadap IT di era globalisasi dan liberalisasi bermakna penggunaan Bahasa Inggeris menjadi semakin penting dan tidak dapat dielakkan oleh masyarakat dunia. Era IT telah menunjukkan Bahasa Inggeris mengiringi kelahiran pertama Internet dunia di Amerika Syarikat dan seterusnya diikuti dengan pengeluar perisian dan perkakasan komputer seperti Microsoft, Dell dan Hewlett-Packard yang semuanya diasaskan oleh mereka yang berbahasa Inggeris. Perubahan persekitaran ini menimbulkan persoalan sama ada mampukan Bahasa Melayu digunakan di dalam era IT sebagai bahasa perantaraan alternatif untuk dimanfaatkan oleh masyarakat.     

 2.1      Peranan Bahasa Melayu Pada Era Teknologi Maklumat ( IT )

            IT merupakan satu penemuan dan inovasi yang dicipta dari barat. Masyarakat berbahasa Melayu perlu mencari kaedah untuk membolehkan bahasa Melayu mempunyai nilai tambah dalam masyarakat yang mementingkan bahasa Inggeris.  Perkembangan era globalisasi memberikan cabaran  kepada bahasa Melayu.  Perkembangan pesat dalam teknologi maklumat ( IT) melahirkan unsur baru yang dikenali sebagai bahasa rojak yang semakin berkembang luas dalam kalangan pengguna bahasa.  Selain itu, penggunaan bahasa Melayu dalam internet juga perlu dipertingkatkan agar seiring dengan penggunaan-penggunaan bahasa-bahasa utama lain di dunia.  Penggunaan bahasa Melayu dalam ruang siber ini menyebabkan berlakunya perubahan yang ketara khususnya ruang sembang siber yang memperlihatkan munculnya bahasa-bahasa yang tidak mengikut hukum tatabahasa yang betul.  Antara perkataan-perkataan baru yang dikhuatiri akan mencemarkan nilai-nilai asli dalam bahasa Melayu ialah  seperti kang (nanti), a’kum (assalamualaikum), tipon (telefon), persal (mengapa), nko (engkau) dan lain-lain lagi.  Hal inilah yang perlu disedari oleh pengguna internet yang menggunakan bahasa Melayu sebagai wadah komunikasi agar tidak menggunakan bahasa Melayu sesuka hati tanpa mengambil kira peraturan yang sedia ada.
Nik Safiah Karim (1999) berpendapat apabila IT dikembangkan dalam bahasa Inggeris, maka istilah-istilah yang digunakan perlulah disesuai dan diselarikan dengan bahasa-bahasa rasmi dan utama di negara-negara yang tidak menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi seperti di Malaysia.  Walaupun bahasa Inggeris merupakan bahasa yang penting dalam IT, namun perlu ada ruang bagi penggunaan bahasa Melayu mengikut keperluan masyarakat dan negara Malaysia.  Penggunaan bahasa Inggeris yang berleluasa dalam IT sebenarnya tidak mengancam kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan utama negara Malaysia sebaliknya akan memperkayakan lagi istilah tatabahasa Melayu sebagai bahasa IT sehingga terbitnya Kamus Komputer oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.
            Walaupun sudah terdapat Kamus Komputer yang diperkenalkan, namun bagi penutur-penutur bahasa Melayu lebih suka menggunakan bahasa Inggeris berbanding bahasa Melayu.  Pengguna-pengguna Melayu yang bertutur bahasa Melayu misalnya lebih suka menggunakan istilah ’mouse’ daripada menggunakan ’tetikus’.  Begitu juga dengan isitilah-istilah lain seperti keyboard (papan kekunci), download (muat turun), upload (muat naik), password (kata laluan) dan lain-lain.  Istilah-istilah ini boleh terdiri dalam bentuk pinjaman daripada bahasa Inggeris tanpa membuat penyesuaian kepada sistem bunyi bahasa Melayu dan menterjemahkan ke dalam bahasa Melayu konsep serta istilah bahasa Inggeris.  Antaranya istilah-istilah seperti internet, e-mel, multimedia, web, perisian, cakera padat dan sebagainya yang telah diguna dan diterima secara meluas dalam pelbagai bidang penulisan berbahasa Melayu.  Apa yang menjadi masalah ialah pengguna sendiri yang menganggap istilah-istilah dalam bahasa Melayu tersebut sesuatu yang ganjil dan pelik. 
           
 2.2       Pengaruh Bahasa Dalam Media 

Media merupakan satu wadah penting yang mampu merangsang dan mempengaruhi sikap serta tingkah laku sesebuah masyarakat.  Perkembangan industri media kini sejajar dengan arus kemodenan dan kemajuan teknologi yang semakin canggih. Media merupakan sumber penyampai maklumat bagi memperolehi pengetahuan dan hiburan. Selain itu, media juga merupakan penyumbang penting terhadap corak kehidupan dan tingkah laku sosial anak-anak muda masa kini.  Jenis-jenis media ialah seperti saluran televisyen, internet,  radio, suratkhabar, majalah, buku-buku dan sebagainya.
Malaysia kini telah mempunyai pelbagai saluran televisyen yang dibekalkan oleh pihak kerajaan mahupun swasta . Saluran-saluran ini pula berlumba-lumba menyiarkan berbagai-bagai rancangan yang bertujuan menarik perhatian para penonton.  Persaingan ini lebih mengutamakan keuntungan tanpa memikirkan kualiti dan mutu rancangan yang disiarkan. Hasilnya terdapat tayangan-tayangan yang melampaui batas-batas susila budaya rakyat Malaysia dan memberi pengaruh negatif terhadap golongan remaja dan bawah umur yang menonton.  Penggunaan bahasa tidak sopan juga amat berleluasa dan seakan di pandang remeh oleh pihak stesen televisyen.
Lebih menyedihkan apabila bahasa-bahasa yang digunakan menjadi ikutan ramai terutama golongan anak-anak sekolah.  Di samping itu, filem-filem seperti KL Gengster, Kongsi, KL Drift dan beberapa lagi banyak menggunakan bahasa yang kasar dan tidak sopan.  Contohnya perkataan seperti ‘lu’, ‘gua’, ‘bro’,’beb’ sering diulang-ulang di dalam dialog sehingga naik jelak mendengarnya.  Namun begitu, ungkapan-ungkapan inilah yang sering ditiru dan menjadi ikutan oleh para remaja  apabila berinteraksi sesama mereka.
            Selain itu, penggunaan bahasa Melayu oleh media elektronik disifatkan semakin merosot kualitinya.  Pelbagai kesalahan bahasa yang berterusan dikesan dalam pelbagai program televisyen dan radio khususnya stesen swasta sejak akhir-akhir ini.  Antara contoh kesalahan paling kerap ialah penggunaan kata ganti nama pembesar dan pemimpin negara yang disebut tanpa rasa sopan dan hormat. Nama pembesar berkenaan kerap kali disebut dengan panggilan hormat yang dan betul pada sebutan pertama, tetapi panggilan berikutnya hanya menggunakan nama peribadi beliau sahaja.  Dalam masyarakat Melayu, ini bukanlah amalan yang wajar atau berbudaya kerana sebagai tanda hormat nama peribadi mereka tidak patut disebut, tetapi digantikan dengan kata ganti nama yang sesuai dengan taraf atau kedudukan mereka dalam status sosial masyarakat.  Penggunaan kata ganti 'kita orang', 'korang', dan 'diorang' yang merujuk kepada ganti nama 'kami', 'kalian' dan 'mereka', yang kini meluas digunakan dalam drama terbitan stesen-stesen televisyen dilihat sebagai satu kesalahan yang mencemar dan merendahkan bahasa Melayu. Kesalahan bahasa itu jika tidak dibendung akan membawa impak buruk terhadap perkembangan bahasa Melayu kerana pengaruh media elektronik terhadap penonton dan pendengar khususnya kanak-kanak adalah sangat besar.


 3.0       ISU ETIKA DALAM TEKNOLOGI  MAKLUMAT ( IT )

Tidak dapat dinafikan bahawa satu standard etika yang syumul dan menyeluruh amat diperlukan pada zaman ini bagi mengawal dan “mengadapkan” manusia. Dengan satu harapan suci lagi murni, melahirkan umat Malaysia khususnya dan dunia amnya yang akan disegani kerana keluhuran budi dan akalnya.
 Etika berasal daripada perkataan Greek “ethos” yang bermaksud perwatakan peribadi. Etika ialah tingkahlaku dan kelakuan moral yang dijangka diikuti oleh manusia. Etika merujuk kepada prinsip-prinsip benar atau salah yang boleh digunakan oleh individu dalam membuat pilihan bagi membimbing gelagat mereka. Apabila berhadapan dengan pilihan, individu perlu memikirkan tindakan-tindakan yang boleh diambil dan  membuat pilihan tindakan moral yang betul.
Teknologi maklumat dan sistem-sistem maklumat membangkitkan persoalan-persoalan etika baru untuk individu dan masyarakat kerana kedua-duanya memberi peluang-peluang perubahan sosial yang pesat dan ini mengancam pengagihan kuasa, wang, hak-hak dan tanggungjawab sedia ada. Ini adalah kerana seperti teknologi lain iaitu teknologi elektrik, telefon dan radio, teknologi maklumat boleh digunakan untuk melakukan jenayah dan mengancam nilai-nilai sosial yang telah ada.
Tindakan tidak beretika dalam dunia teknologi maklumat melibatkan hak cipta, harta intelek dan fenomena cetak rompak perisian komputer yang berleluasa. Matlamatnya adalah penjual mengharapkan keutungan lumayan tanpa kos pelaburan besar manakala pengguna hanya mahu mendapatkan produk yang murah tanpa mempertimbangkan aspek kualiti dan kesan negatif dalam jangka panjang.
Masalah ini menjadi semakin serius dengan adanya kemudahan Internet yang memberi laluan kepada perdagangan elektronik (e-dagang). Perkembangan-perkembangan ini secara tidak langsung menghadkan pertumbuhan pembangunan perisian dan harta intelek.
               
 3.1       Prinsip etika

Prinsip etika seperti di bawah mesti sentiasa berada dalam setiap individu sebagai panduan pelaksanaan teknologi maklumat apabila  ingin membuat pilihan etika. Prinsip tersebut adalah;
  1. Keseimbangan (proportionality): kebaikan yang dibawa oleh teknologi maklumat mesti lebih baik daripada risiko dan keburukan.
  2. Keizinan termaklum (informed consent): mereka yang menerima kesan teknologi maklumat mesti faham dan menerima risiko yang akan dihadapi.
  3. Keadilan (justice): Manfaat dan keburukan teknologi maklumat mesti diagih secara adil. Mereka yang menerima kebaikan patut menanggung sama risiko dan kepada yang tidak menerima kebaikan tidak patut menanggung risiko yang lebih.
  4. Meminimumkan risiko (minimised risk): Jika ketiga-tiga panduan (keseimbangan, keizinan, termaklum dan keadilan) diterima, teknologi maklumat mesti dilaksanakan dengan mengelak risiko yang tidak berkaitan. Banyak risiko etika yang mungkin timbul apabila melaksanakan teknologi maklumat yang mengakibatkan salah maklumat, melanggar keperibadian dan pencemaran persekitaran. Antara risiko tersebut adalah;
 10 perkara untuk pengguna dan profesional komputer yang dicadangkan oleh Institut Etika Komputer (Computer Ethics Institute) :-
  1. Tidak menggunakan komputer untuk membahayakan orang lain.
  2. Tidak mengganggu kerja komputer orang lain.
  3. Tidak membelek fail komputer orang lain.
  4. Tidak menggunakan komputer untuk mencuri.
  5. Tidak menggunakan komputer untuk menjadi saksi palsu.
  6. Tidak menggunakan atau menyalin perisian yang tidak dibeli secara sah.
  7. Tidak menggunakan sumber komputer orang lain tanpa kebenaran atau sebarang bayaran.
  8. Tidak menggunakan tanpa kebenaran output intelektual orang lain.
  9. Memikirkan akan kesan sosial program atau sistem yang dibangunkan.
  10. Menggunakan komputer dengan memberi pertimbangan dan hormat kepada manusia lain.


3.2       Hak Cipta

            Perlindungan hak cipta adalah jelas, ia melindungi program daripada ditiru sebahagian atau seluruhnya. Ganti rugi akan diperolehi sekiranya undang-undang ini dilanggar, kekurangan dalam perlindungan hak cipta ini ialah idea-idea tersirat di sebalik suatu hasil kerja itu tidak dilindungi, hanya manifestasi daripada hasil kerja itu sahaja yang dilindungi. Seorang pesaing boleh menggunakan perisian orang lain, memahami bagaimana ia berfungsi dan membuat perisian baru yang mengikut konsep yang sama tanpa melanggar hak cipta.
            Saman pelanggaran hak cipta “lihat & rasa” adalah mengenai perbezaan di antara satu idea dan bagaimana ia dinyatakan atau diluahkan. Sebagai  contoh, pada awal tahun 1990-an, Apple Computer telah menyaman Microsoft Corporation dan Hewlett Corporation Inc. Atas perlanggaran hak cipta rupa paparan pengantara (interface). Apple Macintosh mendakwa bahawa defenden meniru rupa Window yang berlapis-lapis. Defenden membalas dakwaan bahawa idea Window yang berlapis-lapis hanya boleh dinyatakan dalam satu cara dan oleh sebab itu, ia tidak boleh dilindungi di bawah doktrin gabungan dalam undang-undang hak cipta. Apabila idea-idea dan pernyataan bergabung, pernyataan tersebut tidak boleh dijadikan hak cipta. Secara umum, mahkamah mendapati bahawa konsep, fungsi, ciri-ciri fungsi umum (contohnya menu “drop-down”) atau warna-warna tidak dilindungi oleh undang-undang hak cipta.
Di Malaysia, Akta Hak Cipta 1987 secara jelas memberi perlindungan kepada perisian komputer atau kompilasi perisian komputer. Individu atau syarikat yang didapati bersalah kerana memiliki salinan perisian komputer cetak rompak boleh didenda sehingga RM10,000 untuk setiap salinan atau penjara selama lima tahun atau kedua-duanya sekali.Menurut akta yang sama, jika didapati membuat atau mempunyai alat sama ada digunakan atau bertujuan menghasilkan salinan perisian tanpa kebenaran denda sehingga RM20,000 untuk setiap alat atau hukuman penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Akta Hak Cipta (Pindaan) 1997 memberikan perlindungan penuh kepada pembangunan multimedia, memastikan kerja seseorang pencipta tidak boleh dipersembah sebagai kerja orang lain, melarang persembahan sesuatu kerja dalam bentuk yang telah diubahsuai serta mengelakkan pindahan dan pengubahsuaian maklumat pengurusan hak elektronik.


3.3       Cetak Rompak Perisian Komputer

Cetak rompak perisian komputer bermaksud penyalinan secara haram perisian tersebut dengan menggunakan apa-apa cara. Apabila perisian itu dibeli oleh pengguna, hanya satu salinan perisian itu boleh disimpan di dalam cakera keras atau cakera liut pengguna. Pengguna tidak dibenarkan menyalin salinan asal ke dalam cakera keras komputer lain tanpa kebenaran pengaturcara perisian tersebut.
Jika pengguna membeli satu perisian dari kedai. Apa yang dibeli oleh pengguna terbabit ialah bukannya dalam bentuk material, sebagai contoh, cd-rom/ cakera liut, buku panduan, dan lain-lain, tetapi dalam bentuk lesen penggunaan. Ini bermakna, hanya seorang pengguna dibenarkan menggunakan perisian itu pada satu masa. Cuba kita anggap perlesenan perisian ini sebagai buku. Jika Pengguna A membeli sebuah buku novel, pada satu masa cuma seorang pembaca sahaja boleh membaca buku itu. Tidak ada cara bagi orang lain di tempat yang lain membaca buku yang sama. Sama seperti perisian komputer, Jika pengguna itu mahu menggunakan perisian itu di komputer yang lain untuk tempoh yang tetap, dia terpaksa memadamkan perisian tersebut pada komputer yang asal dan membuat instalasi perisian pada komputer baru yang mahu digunakan olehnya.
Jika pengguna itu mempunyai salinan perisian di pejabat dan dia mahu menggunakan perisian itu di rumah, ketika dia tidak berada di pejabat, maka dia boleh meletakkan perisian tersebut pada komputernya di rumah dengan syarat pengguna itu seorang sahaja yang menggunakan salinannya di rumah atau di pejabat.
Cetak rompak ini berlaku disebabkan sifat ketamakan, sifat tidak bertimbangrasa, tidak menghormati hak orang lain. Perisian komputer bukan dalam bentuk material, tetapi dalam bentuk intelek. Terdapat beribu-ribu lagi perisian-perisian yang terdapat di dunia yang memerlukan kerja keras pengaturcara. Jika pengguna menyokong cetak-rompak dengan membeli perisian-perisian cetak rompak maka dengan secara tidak langsung pengguna telah menutup mata pencarian pengaturcara-pengaturcara dan sekaligus memakan hak orang lain. Ini semua tidak akan berlaku jika pengguna tahu yang mana benar dan yang mana salah. Salah satu kesan yang amat ketara di Malaysia ialah kekurangan syarikat tempatan yang mampu mengeluarkan perisian dalam Bahasa Malaysia.
Kebanyakan syarikat perisian di Malaysia hanya membuat perisian yang telah ditempah oleh pelanggan. Cuma ada beberapa syarikat sahaja di Malaysia yang mengeluarkan perisian untuk diedarkan untuk orang-ramai. Sebagai contoh, Dewan Eja, Mari Belajar Al-Quran, Jawi, dan beberapa perisian untuk pendidikan sekolah rendah dan menengah. Tetapi mereka pun masih lagi mendapat saingan daripada perisian-perisian haram yang diimport dari luar negeri yang jauh lebih murah.

3.4       Bussiness Software Alliance (BSA)

BSA ditubuhkan oleh kumpulan-kumpulan perisian komputer di dunia untuk menangani masalah perisian haram ini. BSA bertanggungjawab untuk mengelakkan perisian haram ini dari berleluasa. BSA akan mendakwa mana-mana pihak yang menggunakan perisian haram. Denda yang dikenakan oleh mahkamah ialah RM10,000 untuk setiap salinan perisian haram yang dimiliki. Mahkamah tidak akan bertolak ansur dalam hal ini. Ahli ahli yang mengangotai BSA ialah Adobe, Autodesk, Lotus, Novell, Symantec, Microsoft, atCom, Extol, UBS dan CIE. Anggota-anggota ini memberi kebenaran supaya BSA boleh mendakwa mana-mana pihak yang memiliki perisian haram.
Selain daripada itu BSA juga berfungsi untuk menyedarkan orang ramai bahawa cetak-rompak perisian ini adalah sesuatu yang tidak bermoral. Orang ramai yang memberikan infomasi sehingga tertangkapnya pencetak rompak ini akan diberi ganjaran sebanyak lebih kurang RM 8000, manakala RM 5000 akan diberi lagi apabila orang yang tertangkap itu berjaya didakwa di mahkamah. Setakat ini beberapa syarikat di Malaysia telah didakwa atas tuduhan memiliki perisian haram. Dan syarikat ini telah didakwa di mahkamah dan didenda. BSA sedang memperluaskan lagi aktiviti mereka untuk membanteras cetak rompak ini.
Untuk penerbit-penerbit perisian yang lain yang tidak menganggotai BSA, BSA tidak boleh mengambil sebarang langkah atau tindakan kerana penerbit itu tidak memberikan kebenaran kepada BSA untuk mengambil tindakan mahkamah, maka perisian-perisian mereka masih lagi berada dalam ancaman cetak rompak ini.


 4.0       ISU BUDAYA DALAM TEKNOLOGI MAKLUMAT ( IT )

            Budaya bermaksud budi pekerti atau akal, secara amnya membincangkan hal-hal yang berkaitan budi dan akal manusia. Di dalam pengertian yang luas pula bermaksud segala sesuatu yang dibawa atau dikerjakan oleh manusia berlawanan dengan perkara semulajadi yang bukan dicipta atau boleh diubah oleh manusia. Selain itu, pengertian kebudayaan mempunyai hubungan erat dengan masyarakat dimana segala sesuatu yang terdapat didalam sesebuah masyarakat mempunyai hubungkait atau boleh ditentukan oleh kebudayaan yang dimiliki masyarakat itu sendiri. Budaya boleh diungkapkan sebagai keseluruhan cara hidup manusia termasuk hasil ciptaan dan pemikiran yang sesuai dengan kehendak rohani dan jasmani yang menjadi amalan untuk kesejahteraan hidup sesuatu kelompok masyarakat.
            Dari sudut IT, budaya memainkan peranan yang penting. Budaya yang selalu di amalkan akan menjadikan individu itu lebih berpengetahuan luas dari segala aspek kerana IT ini mempunyai skop yang luas tetapi semuanya terpulang kepada individu tersebut untuk menggunakannya. Samada mereka menggunakan secara positif ataupun negetif, jika dilihat pada masa kini kebanyakan perkara yang negatif puncanya adalah dari IT yang tiada sempadan ini. Antara isu-isu yang sering mempengaruhi adalah dari segi percakapan, fesyen, makanan, pergaulan bebas dan sebagainya.
            Masyarakat kita pada masa kini lebih cenderung untuk meniru atau mengikut perkara yang negative daripada yang positif, dan lebih membimbangkan perkara yang negative ini terlalu pantas menular kepada pemimpin masa hadapan ini. Pengaruh budaya ini akan menjadi corak dalam kehidupan seharian mereka.


 4.1       Isu-Isu Yang Dipengaruhi

Ø  Cara Percakapan
Pada masa kini, banyak bahasa barat telah campur kepada bahasa kita. Contohnya, "Malam ini kita pergi dinner.". Ini membuktikan betapa hebatnya pengaruh barat terhadap kita. Bahasa melayu kita yang kita sering gunakan sekarang sudah "bercampur" dengan bahasa dari barat menjadi satu cara percakapan yang baru. 
Sebenarnya, ini bukan merupakan sesuatu yang buruk, kerana bahasa barat lebih biasa digunakan. Namun cara percakapan yang kasar turut dicampur ke dalam bahasa melayu kita. Terutamanya golongan remaja yang menganggap bahasa barat yang kasar itu sesuatu yang dapat membesarkan maruah diri sendiri dan mereka tidak tahu bahawa itu akan menjatuhkan maruah diri mereka.

Ø  Fesyen Barat

Fesyen barat dikaitkan dengan meniru fesyen terutamanya dari segi pemakaian.Sebagai contoh, memakai pakaian yang terdedah atau tidak menutup aurat yang boleh menimbulkan pelbagai perspeksi dalam kalangan masyarakat. Fesyan barat sememangnya mempamerkan imej yang tidak senonoh dan seksi.Salah satu punca seseorang meniru fesyen-fesyen barat ialah mereka mengamalkan gaya hidup moden.Gaya hidup moden biasanya diamalkan di bandar bagi sesetengah golongan masyarakat. Meraka lebih suka mengikut fesyen terkini seiring dengan arus pemodenan dan globalisasi. Bagi mereka pakaian tradisional dianggap lapuk di telan zaman.  Seseorang yang meniru ciri-ciri pemakaian barat secara tidak langsung dipandang rendah oleh masyarakat. Hal demikian disebabkan oleh imejnya yang seksi, terdedah dan terlalu menjolok mata tidak dapat diterima oleh masyarakat. Golongan yang meniru budaya pemakaian barat dianggap tidak mempunyai identiti yang tulen dan asli.

 Ø  Makanan & Minuman Barat

Pengaruh makanan dan minuman barat semakin berleluasa di masyarakat kita sehingga ia menjadikan masyarakat seolah-olah lupa akan makanan dan minuman yang menjadi identiti keperibadian bangsa. Pengaruh makanan dan minuman barat telah menguasai minda masyarakat kita. Walaupun makanan dan minuman barat tidak bercanggah dengan agama, tetapi secara tidak langsung ia telah berjaya mengikis jatidiri belia remaja. Contohnya isu makanan, walaupun ia merupakan isu kecil, tetapi dominasi makanan segera telah menenggelamkan makanan tradisi masyarakat hari kini. Belia remaja kita lebih mengenal makanan dan minuman keluaran barat daripada masakan tradisi yang turun-temurun masyarakat dahulu. Kami boleh terdapat pelbagai jenama makanan di mana-mana bandar di negara kita seperti Mc Donald, KFC, Pizza Hurt dan lain-lain manakala minuman seperti Pepsi, Coca-Cola, Seven-Up dan lain-lain. Belia remaja merasakan pengambilan makanan dan minuman segera merupakan satu lambang cara hidup yang moden. Sebenarnya ia akan menyebabkan masakan tradisi semakin pupus dan belia remaja kehilangan identiti keperibadian bangsa.

Ø  Pergaulan Bebas

Terdapat beberapa faktor yang menjadi penyebab masalah pergaulan bebas dalam kalangan anak muda di negara kita. Salah satunya ialah terpengaruh daripada cerita Hollywood yang tidak sesuai ditonton oleh remaja bawah umur 18 tahun. Kebanyakkan cerita yang ditayangkan ini mamaparkan aksi-aksi yang kurang sopan antara lelaki dan perempuan, seperti melakukan hubungan intim tanpa ikatan yang sah atau lebih tepat lagi dengan istilah melakukan maksiat. Keadaan seperti inilah yang menyebabkan remaja yang menonton tayangan ini akan terpengaruh dan ingin mencubanya dengan rakan yang berlainan jantina.
Selain itu ,masalah pergaulan bebas ini sering menular kerana adanya pengaruh daripada anak-anak muda yang pernah menuntut di perantauan,mereka membawa pulang budaya barat dan mempraktikkannya apabila pulang ke tanah air.Mereka bergaul bebas tanpa mengira jantina,menyebabkan generasi muda yang melihatnya terpengaruh serta memberi impak negatif seperti menjerumuskan anak muda ini ke arah penzinaan dan seks bebas.

5.0       Kesimpulan.
            Malaysia sebagai sebuah negara yang aman dan makmur mestilah melengkapkan masyarakatnya dengan standard pemikiran yang cemerlang bagi melayari alam siber yang penuh dengan cabaran dan dugaan. Islam sebagai agama yang membawa rahmat hendaklah dijadikan rujukan utama di dalam penggubalan standard etika kepenggunaan Internet, sesuai dengan ciri Islam itu sendiri yang membawa perubahan menyeluruh samada dari sudut sosial, ekonomi dan sebagainya. Islam mewajibkan kepada seluruh kaum muslimin agar yang satu menghormati yang lainnya, yang seorang menjaga kemuliaan diri dan kawannya, keharuman namanya, kebagusannya dengan hati yang seikhlas-ikhlasnya.
             Adalah menjadi harapan besar negara dengan adanya ketelusan dan ketulusan dalam zaman siber ini maka masyarakat akan lebih beruntung dan sejahtera. Tiada lagi unsur yang yang boleh merosak dan menghancurkan keutuhan masyarakat disebar melalui jaringan maya yang akan diakses oleh manusia sejagat. Pengaruh teknologi maklumat ( IT ) dalam tahap kemodenan dan kehidupan masa kini tidak dapat dielakkan dan mempunyai pengaruh yang besar dalam kehidupan khususnya generasi muda. Ianya telah menjadi sebahagian daripada kehidupan moden kini yang akan terus meningkat penggunaan dan pengaruhnya dari masa ke semasa.
            Penggunaan dan pengaruh dalam kehidupan masyarakat Malaysia kini sudah tidak dapat dipisahkan dengan IT dalam banyak aspek kehidupan. Bagi mengelak atau mengurangkan kesan negatif dan menghancurkan nilai-nilai positif agama dan budaya masyarakat kita serta menjamin survival nilai-nilai positif masyarakat, semua pihak dan dari berbagai peringkat mestilah memainkan peranan mengukuhkan nilai agama, moral dan etika masyarakat kita, khususnya bagi generasi muda bagi mengelak daripada kesan negatif yang akan semakin parah. Kesan negatif sukar dihapuskan sepenuhnya, tetapi apa yang mungkin dapat dilakukan adalah tingkatkan kesan positif dan kurang kan kesan yang negatif. Dasar-dasar kerajaan berkaitan dengan pendidikan dan budaya mestilah juga meletakkan isu salah guna dan kesan negatif IT ini sebagai suatu yang penting bagi pemodenan dan pembangunan negara bangsa Malaysia.
Justeru, pelbagai langkah perlu diambil bagi menangani masalah ini daripada terus merebak dan berleluasa.  Usaha  pelbagai pihak daripada semua peringkat masyarakat adalah perlu bagi memastikan kejayaan dicapai.  Kesedaran di kalangan masyarakat tentang kepentingan bahasa, budaya dan etika yang betul perlulah dipertingkatkan.   Penggunaan bahasa yang bertepatan, sesuai dan betul akan memberi kesan dan makna yang mendalam untuk menyampaikan sesuatu maksud semasa kita berkomunikasi dengan orang lain.  Memahami apa yang disampaikan menjadikan individu yang di lawan cakapnya merasa dihargai dan gembira. Ini menandakan bahawa proses komunikasi itu berjaya.  Kemakmuran dan keharmonian sesebuah negara bergantung kepada rakyatnya yang memartabatkan kedaulatan bangsa dan menjaga tatasusila dalam budaya dan etika kehidupan yang dilalui.
            Pengaruh budaya Barat telah membawa kesan buruk kepada keruntuhan akhlak seseorang mahupun masyarakat pada masa kini. Generasi muda merupakan salah satu sasaran utamanya. Antara kesan yang amat membimbangkan ialah serangan budaya barat kepada pemikiran dan moral masyarakat. Semakin ramai golongan pemuda hari ini sentiasa mengejari gaya hidup global yang ditandai oleh pelbagai ciri kehidupan barat. Misalnya, memakai pakaian berjenama barat, media barat yang semakin membanjiri masyarakat muda, makanan segera keluaran barat dan lain-lain lagi. Dalam era pasca modenisme, mereka tidak suka menjalani kehidupan yang tiada keseronokan, samada nilai, adat dan sejarah-sejarah dahulu, termasuklah agama. Kesan intelektualan Barat ini telah memaparkan sifat negatif dalam kalangan mereka apabila sesuatu perkara yang tetap dan stabil tidak digemari seperti institusi agama yang menimbulkan nilai dan cara bertindak yang tidak serasi dengan mereka.



 BIBLIOGRAFI
Kamus Dewan Edisi Keempat. Kuala Lumpur: DBP.
Kamus Pelajar Edisi Kedua. Kuala Lumpur: DBP.
Mohd Nasir Omar, 2010.”Falsafah Akhlak.” Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia Bangi.
Nik Safiah Karim.  (1999).  Pemerkasaan bahasa Melayu dalam pembinaan tamadun abad ke-21.  Kertas kerja dibentangkan di seminar bahasa Melayu dalam era siber pada 28 -30 September 1999 di Hotel Lagenda, Kuala Lumpur.  Anjuran Dewan   Bahasa dan Pustaka.
Siri Modul Kendiri Program Pengajian Luar Kampus ( PLK-UUM), BPIN 3053 Sistem Maklumat Pengurusan, Pusat Pendidikan Profesional Dan Lanjutan ( PACE ), Universiti Utara Malaysia.
Siri Modul Kendiri Program Pengajian Luar Kampus ( PLK-UUM),SGDN 1043 Sains Pemikiran Dan Etika , Pusat Pendidikan Profesional Dan Lanjutan ( PACE ), Universiti Utara Malaysia.
Teo Kok Seong. 1996. ”Penukaran kod dan bahasa: Satu fenomena kedwibahasaan”.Pelita Bahasa.
http://www.bharian.com.my/articles/Jeratjenayahsiber/Article/

No comments:

Post a Comment